TARIQAT: PENGENALAN, ASAL USUL DAN PERKEMBANGAN
Kata Tariqat berasal dari Bahasa Arab: (طرق), menurut makna bahasa
Arab maksudnya: ‘jalan’ atau ‘method’, atau ‘cara’. Menurut istilah
tasauf dalam Islam maksudnya: “suatu jalan/kurikulum kerohanian yang
khusus bagi orang-orang yang berjalan menuju Allah mengharungi berbagai
rintangan untuk mencapai peningkatan rohani melalui pimpinan mursyid”.
Melalui praktik rohaniah dan bimbingan seorang pemimpin tariqat, calon penghayat tariqat akan berupaya untuk mencapai hakikat.
Tariqat yang ertinya ‘jalan’. Jalan yang dimaksud di sini adalah
jalan untuk menjadi orang bertaqwa, menjadi orang yang diredhai Allah
s.w.t. Secara praktiknya, tariqat adalah himpunan amalan-amalan taqwa
(zahir dan batin) yang bertujuan untuk membawa seseorang untuk menjadi
orang bertaqwa.
Tariqat adalah umpama sebuah madrasah yang mana subjek pengajian
utama didalamnya ialah ilmu tasawuf, matlamatnya ialah untuk mencapai
maqam ihsan. Ihsan adalah rukun agama yang ketiga yang wajib
direalisasikan oleh setiap mukmin untuk menyempurnakan kehidupan
agamanya.
Tariqat ialah seumpama organisasi yang menggabungkan Iman (Tauhid)
dan Islam (syariat) dalam bentuk Ihsan. Hasilnya melahirkan graduan
rohani atau mereka yang mempunyai hati yang selamat sejahtera dibawa
pulang ke akhirat
Walaupun pada zaman Rasulullah (saw) nama tariqat belum lagi masyhur
namun asal usul perjalanan tariqat ini adalah diambil dari kehidupan
Rasulullah SAW bersama para sahabat terutama golongan ahli Suffah yang
telah menjalani kehidupan yang zuhud dan mursyid atau pembimbing mereka
ialah Rasulullah saw. Mereka sentiasa berada didalam Masjid Nabawi untuk
mendapatkan bimbingan rohani dari Rasulullah SAW.
Seperti mana perkataan tauhid, fiqh, nahu,saraf, mustalah hadis, dan
lain-lain belum wujud pada zaman Rasulullah SAW , yang mana ia hanya
muncul selari dengan perkembangan Islam apabila ilmu-ilmu tersebut mula
dibentuk dan disusun secara sistematik oleh ulamak Islam yang hidup
antara 100-200 tahun setelah kewafatan Rasulullah SAW.
Begitulah hal keadaannya dengan ilmu tariqat dan ilmu tasawuf,
apabila ulama melihat perkembangan agama Islam yang semakin meluas dan
semakin ramai umat Islam sudah mula mengabaikan aspek kerohanian dan
kebatinan yang merupakan intipati agama ini, maka ulama seperti Imam
Junaid al-Baghdadi telah mengambil intipati ajaran tasawuf dan tariqat
dari al-Quran dan Hadis kemudian disesuaikan proses tarbiah dan
tazkiyatun nufus (penyucian jiwa) dengan keadaan zaman, keadaan, murid
dan situasi.
Penyusunan ilmu tariqat dikemaskini dengan lebih teratur oleh Syaikh
Abdul Qadir al-Jailani(wafat pada 561H) yang mempunyai ribuan murid.
Metodologi tariqat yang digunakan oleh para mursyid (pembimbing
tariqat) adalah berbeza namun hampir kesemuanya lebih tertumpu kepada
menghubungkan hati kepada Allah setiap masa dan keadaan. Konsep yang
dipakai juga berbeza-beza ,ada yang selesa dengan konsep mujahadah, ada
yang lebih kepada konsep cinta, ada juga konsep syukur dan sabar, konsep
puasa, dan lain-lain.
Tariqat yang asalnya untuk melahirkan mukmin sejati akhirnya telah
menghasilkan mujahid-mujahid agama yang bertebaran keseluruh dunia untuk
menyebarkan Islam dengan hikmah dan kasih sayang.
Sejarah membuktikan bahawa jasa dan pengorbanan ahli tariqat dan
tasawuf telah memainkan peranan penting dalam memberi pengaruh kepada
dunia Islam dengan membawa amalan Islam dan intipati ajarannya ke
seluruh pelosok alam termasuklah alam Nusantara ini.
Seperti mana dalam ilmu tauhid dan fiqah, ada saja golongan yang
tersesat didalamnya kerana godaan nafsu, begitu juga nasib yang dialami
oleh sesetengah ahli tariqat. Namun amat silap jika seseorang memandang
sinis dan langsung meninggalkan ilmu tauhid, fiqah dan tasawuf/tariqat
hanya kerana segelintir mereka ada yang tergelincir.
Hakikatnya masih banyak aliran tariqat yang masih berada diatas
landasan yang benar dan sahih sehingga kini dalam membawa manusia kepada
merealisasikan tujuan kita dicipta Allah Taala di alam dunia ini.
Antara Aliran-Aliran Tariqat dalam Islam
1. Tarekat Qadiriyah
2. Tarekat Syadziliyah
3. Tarekat Naqsabandiyah
4. Tarekat Yasafiyah dan Khawajagawiyah
5. Tarekat Khalwatiyah
6. Tarekat Syatariyah
7. Tarekat Rifa’iyah
8. Tarekat Ahmadiyah Idrisiyyah
9. Tarekat Sammaniyah
10. Tarekat Tijaniyah
11. Tarekat Chistiyah
12. Tarekat Mawlawyah
13. Tarekat Ni’matuliyah
14. Tarekat Sanusiyah
15. Tarekat Alawiyyah / Haddadiyah
16. Dan lain-lain
Mengenai pengharaman Tarekat Naqshabandiyyah Aliyyah Haqqani di
Malaysia mungkin bermaksud ianya tidak sesuai untuk diamalkan di
Malaysia atau mungkin sudah tiba masanya untuk pihak berwajib menilai
semula sebab musabab tarekat ini diharamkan supaya kebenarannya
terzahir.
Meskipun begitu, pengharamannya disini tidak bermakna ia tertolak
kerana di negara luar, Tarekat Naqshabandiyyah Aliyyah Haqqani ini tetap
disambut dan diterima oleh ulama dunia Islam antaranya Syaikh Dr. Ali
Jumuah (Mantan Mufti Mesir), Syaikh Muhammad Yahya al-Kattani (Ulama
al-Azhar), Syaikh Muhammad Ghanim(ulama al-Azhar), Syaikh Ahmad (ulama
al-Azhar), Syaikh Usamah (Naib Mufti Mesir), al-Habib Ali al-Jufri (Abu
Zabi), al-Habib Umar bin Hafiz (Yaman), Syaikh Muhammad al-Ya’qubi
(ulama England), Syaikhul Islam Dr. Tahir al-Qadri (ulama Pakistan),
Syaikh Ahmad Kuftaru (Mufti Besar Syria), Syaikh Faisal Hamid, Syaikh
Yasir al-Kudmani (ulama Syria) Baba Aziz (ulama Patani), Syeikh Nuruddin
al-Banjari, Syeikh Rahimuddin (Ulama Indonesia) dan lain-lain.
Usaha yang dibuat oleh Pejabat Agama Islam Negeri Sembilan menubuhkan
Bahagian Pendaftaran Tarekat adalah seharusnya dipuji dan dipandang
baik.
Negeri Sembilan yang mengamalkan manhaj Ahlus Sunnah Wal Jama’ah mempunyai Jilsah Al Turuq al-Sufiyyah.
Apakah Jilsah Al Turuq Al Sufiyyah ? – iaitu Jawatankuasa yang
terdiri daripada pengamal tareqat yang pakar mengikut landasan al Quran,
As Sunnah, Ijmak dan Qiyas berperanan untuk menyelia, mengenalpasti
tareqat-tareqat yang diamalkan benar mengikut manhaj Ahlus Sunnah Wal
Jama’ah dan didaftarkan.
Antaranya terdiri dari Mufti Negeri Sembilan, termasuk Dr Abdul Manam, Dr Jahit Sidek, Dr Sulaiman bin Ibrahim.
Jadi tidak timbul kekeliruan akibat orang yang tidak ahli tiba-tiba
bercakap mengenai tareqat dan kemudian menyesatkan pula tareqat dan ahli
tasawwuf.
Info :
1. Jilsah Al Turuq al Sufiyyah : http://www.muftins.gov.my/index.php/arkib2/tareqat-tasauwuf/159-info-bahagian-tarekat-tasawuf
2. Senarai anggota : http://www.muftins.gov.my/index.php/arkib2/tarekat-tassawuf/159-info-bahagian-tarekat-tasawuf/611-senarai-anggota-jilsah-al-turuq-al-sufiyyah
3. Enakmen Tarekat Tasawwuf : http://muftins.gov.my/index.php/arkib2/tareqat-tasauwuf/159-info-bahagian-tarekat-tasawuf/607-pengenalan-enakmen
4. Pelan Strategik : http://muftins.gov.my/index.php/arkib2/tareqat-tasauwuf/159-info-bahagian-tarekat-tasawuf/610-pelan-strategik-jabatan-mufti-kerajaan-negeri-negeri-sembilan-darul-khusus-2011-2015-bahagian-tarekat-tasawuf
5. TAREQAT TASAWWUF YANG BERDAFTAR DAN DILULUSKAN :
http://muftins.gov.my/index.php/arkib2/tareqat-tasauwuf/161-tarekat-tassawuf-berdaftar
6. Arkib Tarekat Tasawwuf : http://www.muftins.gov.my/index.php/arkib2/tareqat-tasauwuf
Mengandungi senarai tokoh tarekat tasawwuf, himpunan doa dan zikir, kertas kerja dan sebagainya.
Semoga negeri-negeri lain di Malaysia mempunyai badan yang berfungsi seperti ini juga. Serahkan urusan pada ahlinya !
_____________________________________________________
Sila berkunjung ...
Sumber asal
https://empayaraswj.wordpress.com/2015/06/07/jom-kenali-tareqat/
Yeshua Ha Mashiah Melihat Keberadaan Wanita
8 tahun yang lalu