Oleh: Rudy Herman Sinen
Disiarkan di:
Majalah Sarina (Karangkraf), December 2004.
In PDF (750KB)
Ahmad Ridhwan mempunyai satu kegemaran yang agak pelik. Beliau selalu
meluangkan masanya menjaga sebuah makam yang terletak di Chinatown,
Singapura, tidak jauh dari Tanjong Pagar.
Walaupun umurnya baru 17 tahun, Ahmad Ridhwan sudah menjaga makam
sejak umurnya 12 tahun, iaitu sudah 5 tahun lamanya. Sejak 5 tahun itu,
usaha beliau bukan sahaja menjaga tetapi membersihkan dan mencantikkan
kawasan makam yang dulunya sangat kotor dan terbiar.
Makam yang selama ini Ahmad Ridhwan menjaganya ialah Makam Syarifah Rugayah, cucu kepada Habib Noh Al Habshee.
Habib Noh ialah seorang ulama dan wali Allah yang masyhur yang hidup
semasa abad ke-19 di Singapura. Makamnya yang terletak di puncak sebuah
bukit di Palmer Road di kawasan Tanjong Pagar, Singapura merupakan bukti
ketokohannya yang diabadikan dan dimuliakan sehingga kini.
Menurut kisah yang ditulis oleh cicit saudara Habib Noh, Syed
Abdullah Bin Ahmad Al Attas, hasil dari perkahwinan Habib Noh dengan
Anchik Hamidah, beliau dikurniakan dengan seorang anak perempuan.
Anaknya itu diberi nama Sharifah Badaniah.
Kemudian, Sharifah Badaniah berkahwin pula dengan seorang lelaki dari
Jelutong, Penang, Syed Mohammad Bin Hassan Al Shatri. Pasangan ini
mendapat seorang cahaya mata perempuan yang diberi nama, Sharifah
Rugayah. Maka Sharifah Rugayah adalah cucu tunggal kepada Habib Noh.
Makam Sharifah Rugayah tidak seperti Makam Habib Noh yang terletak di
puncak bukit dan dijaga dengan sempurna. Ia hanya sebuah kuburan di
belakang sederet rumah kedai lama. Makamnya kini di dalam kawasan sebuah
taman, Duxton Plain Park. Agak pelik juga apabila anda mendapati hanya
ada sebuah kuburan di dalam taman yang tidak dibongkar dan diusik sejak
seratus tahun lamanya.
Namun, yang menariknya, mengapa pula makam ini dijaga oleh seorang
penjaga remaja? Ahmad Ridhwan, mengakui bahawa beliau menjaga makam atas
dorongan untuk menunaikan amanah. Apakah amanah yang dimaksudkannya?
Beliau yakin bahawa amanah itu datangnya dari Habib Noh kepadanya
melalui mimpi.
Sepanjang hidup Ahmad Ridhwan, beliau tidak pernah ke Makam Habib
Noh, apatah lagi berminat untuk mengetahui perihal makam-makam lain yang
terdapat di Singapura. Tanpa diduga, satu peristiwa berlaku pada malam
tanggal 2 April 1999 yang mengubah minatnya sehingga kini.
Malam itu merupakan hari Khamis malam Jumaat. Beliau bermimpi
didatangi seorang yang berjubah dan berserban serba putih. Orang itu
bercakap sesuatu kepadanya dalam bahasa Arab. Tetapi kemudian, dia
bercakap dalam bahasa Melayu, yang kata-kata itu masih terlekat di
ingatan Ahmad Ridhwan sehingga kini.
“Saya adalah Habib Sayyid Noh Bin Mohamad Al Habshee. Saya ingin kamu
mencari dan selamanya menjaga makam cucu tunggal saya, Sharifah Rogayah
Binti Sayyid Mohamad Al Shatri. Ia terletak tidak jauh dari tempatku…
Tanjong Pagar. Carilah, kamu akan menemuinya.”
Begitulah dialog di dalam mimpi orang yang memperkenalkan dirinya
sebagai Habib Noh. Sejurus selepas terjaga dari tidur, Ahmad Ridhwan
tidak mengerti apa maksud dan ta’bir mimpi itu. Malah, beliau pun tidak
mengetahui siapakah Habib Noh itu.
Pada pagi Jumaat itu, beliau terus bertemu dengan seorang yang
bergelar Pak Ali, seorang lagi penjaga makam di kawasan lain yang beliau
kenal. Pak Ali sanggup membawa Ahmad Ridhwan ke Makam Habib Noh.
Setelah mendapat izin keluarganya, Ahmad Ridhwan bersama Pak Ali ke
Makam Habib Noh. Bagi Ahmad Ridhwan, ini merupakan kali pertama beliau
menjejakkan kaki ke Makam Habib Noh yang mulia itu. Malah sebelum ini,
beliau pun tidak pernah dengar dan kenal siapa Habib Noh itu.
Setelah ke Makam Habib Noh, beliau masih tidak tahu di manakah
letaknya Makam Sharifah Rugayah seperti yang disebutkan di dalam mimpi.
Bagaimanakah beliau harus mulakan pencarian ini? Masih belum ada
jawapannya.
Tiba-tiba terdetik di hatinya untuk ke sebuah kedai buku, kalau-kalau
ada buku mengenai makam itu. Setelah menunaikan solat Jumaat, beliau ke
sebuah kedai buku di Stamford Road (dulunya kedai buku MPH Stamford
Road) dengan harapan agar bertemu dengan apa saja maklumat mengenai
makam itu.
Seolah-olah
dimudahkan urusannya, Ahmad Ridhwan terjumpa sebuah buku daftar
nama-nama jalanraya. Di dalam buku itu dengan jelas disebutkan Makam
Sharifah Rugayah terletak di Duxton Plain Park.
Alangkah bersyukurnya beliau, hatinya seperti didorong-dorong untuk
terus bergegas ke Duxton Plain Park, walaupun beliau tidak tahu di mana
Duxton Plain Park. Setelah bertanya-tanya, akhirnya beliau sampai di
Duxton Plain Park.
Kawasan taman itu luas, beliau masih perlu mencari di mana makam itu.
Semasa melangkah masuk ke taman itu, beliau terhidu bauan harum.
Hatinya semakin yakin, semangatnya kian membara. Lalu diekori haluan bau
harum itu. Tidak lama kemudian, lalu terbujur di hadapan matanya sebuah
kuburan yang tertulis “Shrine of Sharifah Rogayah (1891)”.
Sejak hari itulah, beliau terus menjaga makam itu. Menurut, Ahmad
Ridhwan, keadaan makam itu tidak terurus semasa dijumpainya. Maka setiap
hari dan hujung minggu selepas sekolah, beliau akan ke makam untuk
membersihkan dan menjaga kesucian kawasan makam itu.
Menurut Ahmad Ridhwan, beliau pernah didatangi seorang tua yang
mengaku dirinya pernah tinggal di kawasan Duxton Plain. Mengikut
ceritanya, Makam Syarifah Rugayah dibina dan dijaga oleh seorang yang
berasal dari Hadramaut, Syed Mohammad Alkaff sekitar tahun 1914 hingga
1940an.
Walaupun, Makam Sharifah Rugayah tidak dikenali umum, ada juga yang
datang menziarahi dan membantu membersihkannya. Ada juga orang yang
membantunya mengecat semula dapur-dapur makam itu dan menukarkan kain di
batu nisan.
Tetapi sejak kisah Makam Syarifah Rugayah ini dilaporkan di dalam
akhbar dan rancangan televisyen di Singapura, semakin ramai orang yang
datang berziarah.
Namun, dalam pada terdapat orang yang membantu, ada juga orang yang
mencemar kesucian makam itu. Seperti kebiasaan berlaku di makam, ada
yang datang membuat pemujaan, minta nombor ekor dan berbagai amalam
karut-marut yang dilakukan di kawasan makam, terutama pada waktu malam.
Ada juga kumpulan samseng cina yang membuat pemujaan di sana.
Padanya, itu adalah dugaan yang harus dilaluinya dengan kesabaran. Tidak ada ganjaran yang diharapkannya.
Hatinya yang tulus ikhlas memelihara Makam Syarifah Rugayah mendapat
ucapan terima kasih dari para pengunjung. Malah ada dua peristiwa yang
menambahkan keyakinannya dan usahanya untuk terus menjaga makam.
Pada 31 Jun 2001, Ahmad Ridhwan sekali lagi bermimpi Habib Noh. Di
dalam mimpi itu, Habib Noh mengucapkan terima kasih kepadanya kerana
berusaha mencari makam cucunya dan terus menjaga makam itu.
Satu lagi peristiwa berlaku pada 11 Ogos 2002 di Makam Syarifah
Rugayah hampir waktu maghrib. Waktu itu hujan gerimis dan Ahmad Ridhwan
sedang membersihkan kawasan makam. Tiba-tiba, bahunya ditepuk dari
belakang. Tapi kepalanya terasa berat untuk menoleh ke belakang.
Ahmad Ridhwan mendengar suara seorang wanita berkata-kata kepadanya.
Wanita itu menggelarkan dirinya “Ummi” dan mengucapkan terima kasih
kepada Ahmad Ridhwan. Sejurus selepas itu, beliau bleh menoleh ke
belakang. Tapi yang dilihatnya hanya kepulan-kepulan kabus yang
berterbangan.
Mungkinkah itu Syarifah Rugayah atau bukan? Wallahualam. Bagi Ahmad
Ridhwan, apa yang dilakukannya hanyalah demi menunaikan amanah. Sebab
itu, walaupun dalam kesibukannya bersekolah, Ahmad Ridhwan tetap
meluangkan masa untuk ke makam. Paling tidak, beliau akan ke sana pada
hujung minggu.
Seperti remaja lain, Ahmad Ridhwan bercita-cita untuk menjadi seorang
Sejarawan. Dan beliau berharap dengan keberkatan makam ini cita-citanya
dapat tercapai.
Kehidupan Wanita di Alam Barzakh